Koleksi video Ceramah Agama dan Dokumentari Islam

Sunday, April 26, 2015

Berguru dengan Syaitan?

No comments :
Berguru dengan Syaitan? - Dr Mohd Asri

Tambahan:

- Adakah semua orang yang ada banyak guru tidak ada sejarah mereka telah menyeleweng? Sedangkan ada contoh ulama tersohor di Indonesia pun pernah tersasar hingga bertukar ke Mazhab Syiah. Dan berapa ramai orang yang tersilap pilih guru hingga terjebak ke dalam ajaran-ajaran yang menyeleweng.

- Belajar perlu ikhlas. Jika belajar berguru pun tetapi tidak ikhlas dan tidak memenuhi kriteria yang dikehendaki agama, akan tersasar juga. Contohnya seperti nasihat Umar al-Khattab r.a;

"Janganlah kamu mempelajari ilmu kerana tiga perkara, dan jangan pula kamu meninggalkan (dari mempelajarinya) kerana tiga perkara, iaitu; 

Janganlah kamu belajar dengan tujuan untuk berbantah-bantahan, untuk membanggakan diri, dan jangan pula kamu menuntut ilmu hanya untuk mencari populariti (riya').

Dan jangan lah kamu meninggalkan dari belajar kerana malu menuntut ilmu, jangan pula kerana zuhud terhadap ilmu, dan jangan pula kerana rela menjadi orang yang bodoh (jahil)." [1]

- Jika belajar melalui membaca buku dikira berguru dengan syaitan, maka sila JANGAN JUAL buku kepada orang awam, tetapi jual lah sahaja kepada pelajar-pelajar yang menuntut ilmu di sekolah, universiti, maahad, pondok dan seumpamanya sahaja. Maka bersalah lah semua penjual buku yang menjual kepada sembarangan orang kerana menggalakkan orang supaya berguru dengan syaitan.

- Dan jika membaca buku itu berguru dengan syaitan, kepada orang-orang yang mahu mengajar agama pula, jangan guna buku/kitab sebagai rujukan di atas meja. Tetapi ingatilah semua kata-kata guru anda. Persoalannya, dapatkah anda ingat semua kata-kata guru anda? Tanpa anda juga rujuk kepada buku-buku yang telah ditulis oleh para ulama?

- Cuma, belajar dengan buku jangan pula kita memandai-mandai buat tafsiran sendiri terhadap perkara-perkara yang kabur apalagi isu-isu besar dan melibatkan aqidah sebagai contoh. Belajar dengan buku hanyalah salah satu cara/kaedah dalam menuntut ilmu. Maka hendaklah bertanya kepada AHLI ILMU sekiranya kita tidak tahu atau faham.

"Bertanyalah kepada ahli ilmu jika engkau tidak tahu." [Surah An-Nahl : 43]

- Dan kepada mereka-mereka yang mengatakan belajar dengan buku seperti berguru dengan syaitan, insaflah, jangan mengharamkan apa yang tidak diharamkan oleh Allah Ta'ala.

- Mana yang lebih baik, baca buku agama atau tidak baca terus? Agenda Yahudi memang mahukan umat Islam terus jahil terutamanya dalam ilmu agama, maka senang mereka pengaruhi dan rosakkan minda.

- Para ustaz tidak perlu risau orang awam baca buku. Adakah para ustaz risau orang awam lebih pandai dari ustaz? Maka ustaz kena usaha lebih lagi lah untuk mahirkan diri, jangan malas-malas. Lagi pun ustaz ada kelulusan dari universiti, pondok dan sebagainya, insya Allah ada gajinya jika mengajar di sekolah, masjid, pondok, universiti dan sebagainya.

Orang awam yang menuntut ilmu ni tidak ada gaji apa pun, hanya mengharapkan redha Allah, dapat beramal dan sebarkan sedikit sebanyak untuk mengharapkan pahala dan redha-Nya insyaAllah.

Jom kita sama-sama jadi alim belaka, tidak perlu membiarkan kejahilan berleluasa. Sepatutnya zaman jahiliyyah sudah ditinggalkan sejak kedatangan Rasulullah S.a.w dulu lagi, tapi apakan daya, Talbis Iblis akan ada sehingga Hari Kiamat.

- Tetapi perlu berhati-hati juga dengan buku apa yang dibaca, kerana banyak juga buku yang ada kesilapan dan penyelewengan. Sebaik-baiknya baca buku yang sudah diiktiraf oleh alim ulama. Dan jika nak baca buku yang ada kesalahan dan kesilapan pun, sekadar mahu tahu apa kesalahannya.

- Kita nak tahu hasil orang belajar tanpa guru, cuba lah muzakarah dengan dia. Kalau ada silap sila tegur. Ntah-ntah kita yang lebih banyak silap dari dia. Tentang berlaku perbezaan pendapat, ya itu sudah lumrah di mana-mana dan bila-bila pun akan berlaku perbezaan pendapat di kalangan manusia ni. Di kalangan para ulama pun akan berbeza pendapat, apa lagi di kalangan orang-orang awam. Yang penting, jangan TANAAZU' (berbantah-bantahan sehingga bertikam lidah).

"....... Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya." [Surah an-Nisaa; : 59]

- Tidak perlu hasad dengki kepada orang lain yang dahagakan ilmu untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menyampaikan apa-apa yang termampu untuk mengharapkan pahala dan keredhaan Allah Ta'ala. Kerana tidak semua orang mempunyai masa yang sama (ada yang sibuk dengan kerja dan sukar meluangkan masa untuk menghadiri kelas-kelas). Apalagi orang-orang yang sudah ada asas dan pernah berguru dalam ilmu yang ingin dia perdalami dengan buku-buku.

Melainkan orang yang baru mentah dalam sesuatu ilmu agama itu dan belum ada asas yang kukuh, maka perlulah berguru secara talaqqi terlebih dahulu.

Sila rujuk fatwa JAKIM pada tajuk Hukum Mencari Ilmu Melalui Media Online

Allahul musta'an, wallahu a'lam .......

Sesiapa yang belajar tanpa guru maka syaitan lah gurunya? - Maulana Asri

Belajar tanpa guru syaitan lah gurunya? - Maulana Fakhrurrazi

Rujukan:

1 - Imam al-Ghazali - Afatul Lisan, Bab 4 , Pertengkaran dan berbantah-bantahan

No comments :

Post a Comment